Avokado (Jawi: اۏوکادو), alpukat (Jawi: ‏الڤوکت‎‎), adpokat (Jawi: ادڤوکت ; juga: apukat, apukad, pukat) atau buah tempurung (Jawi: ‏بواه تمڤوروڠ‎‎ , nama botani: Persea americana)[4][5][2][6] ialah sejenis tumbuhan dari genus Persea keluarga Lauraceae.[7] Ia menghasilkan buah yang mengandungi biji tunggal besar[8] dengan isi yang lemak lembut apabila cukup masak.

Avokado
Julat zaman: 15–0 Ma Miosen Pertengahan – kini
Buah avakado varieti hitam keperangan.
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
P. americana
Nama binomial
Persea americana
Sinonim[3]
  • Laurus persea L.
  • Persea drymifolia Cham. & Schltdl.
  • Persea edulis Raf.
  • Persea floccosa Mez
  • Persea gigantea L.O.Williams
  • Persea gratissima C.F.Gaertn.[2]
  • Persea leiogyna Blake
  • Persea nubigena L.O.Williams
  • Persea paucitriplinervia Lundell
  • Persea persea (L.) Cockerell
  • Persea steyermarkii C.K.Allen

Pokok ini bertaburan asal di Mesoamerika meliputi tengah negara Mexico dan Guatemala, tetapi tersebar luas secara penanaman di kawasan-kawasan tropika (termasuk sejauh Nusantara) dan iklim Mediterranean seluruh dunia.[7] Buah ia banyak dimanfaatkan sebagai buah segar atau diproses lanjut untuk pelbagai kegunaan.

Penamaan

sunting

Nama-nama avokado, alpukat, adpokat dan pukat dipinjam daripada kata bahasa Sepanyol aguacate melalui bahasa Inggeris (avocado) atau bahasa Belanda (advocaat).[9][10] Perkataan Sepanyol aguacate yang digunakan di Mexico dan Amerika Tengah asal buah ini[11] sendirinya meminjam dari bahasa Nahuatl āhuacatl[12] turunan perkataan *pa:wa[13] yang bermaksud "buah zakar" menggambarkan bentuk buahnya.[14]

Kodeks Firenze yang merupakan sumber paling awal menerangkan pokok buah ini pada abad ke-16 mencatatkan adanya 3 nama berbeza untuk tiga jenis buah yang didapati dalam kalangan warga peribumi menuturkan bahasa Nahuatl: "aoacatl" untuk P. americana varian drymifolia, "tlacacolaocatl" untuk jenis varian americana dan "quilaoacatl" untuk varian guatemalensis.[15]

Nama "buah tempurung" pula boleh jadi muncul daripada rupa buahnya yang berwarna perang gelap ketika matang, berkulit kesat dan seakan-akan keras menyamai tempurung kelapa.[perlu rujukan]

Sejarah

sunting

Taburan asal buah ini dipercayai tertumpu asalnya di Lembah Tethuacan[16][17], Puebla, Mexico.[18] Tinggalan biji buah yang tertua dijumpai dapat ditarikhkan dari sekitar 9 hingga 10 ribu tahun dahulu.[16]

Sejarah menanam dan makan buah avokado telah bermula semenjak beribu-ribu tahun dulu lagi oleh kaum Aztek di lembah Andes yang mempunyai tamadunnya tersendiri.

Pokok ini didapati mula diperkenalkan ke Dunia Lama melalui Sepanyol pada tahun 1601 dan tersebar ke rantau Nusantara sekitar tahun 1750.[17]

Ciri-ciri botani

sunting

Pokok avokado jenis saka yang tumbuh menegak tinggi sehingga 20 meter (70 kaki). Batangnya membesar sehingga garis pusat antara 0.3–0.6 meter[19] dan bercabang.

Daun-daun pokok disusun bertentangan. Sehelai daun berwarna hijau gelap dengan bentuk ringkas seperti mata lembing atau bujur berukuran 12–30 sentimeter panjang dan 3–20 sm lebar. Permukaan atas daun berwarna hijau tua dan berkilat, bahagian bawahnya agak cerah muda atau keputihan.[6]

Pokok avokado berbunga dalam jambak di hujung ranting.[19] Sekuntum bunga avokado terdiri daripada 2 pusaran 3 kelopak sari salut berwarna hijau pucat atau kekuningan; sari salut ini berbulu halus dengan 9 stamen dan 2 kelenjar nektar berwarna jingga.[6][7] Bunga-bunga ini disenyawakan dengan beberapa cara:

  • kaedah 'A' di mana organ betina akan terbuka sewaktu pagi dan debunga dikeluarkan sewaktu tengah hari,
  • kaedah 'B' yang mana debunga dikeluarkan sewaktu pagi dan organ betina dibuka sewaktu tengah hari.

Daripada 11 spesies avokado, sebanyak 5 spesies didebungakan kaedah A dan 6 spesies didebungakan kaedah B.

Buah avakado dan keratan rentasnya.

Buah avokado menjuntai dari dahan dengan bentuk membenjol tirus di bahagian pangkal buah seakan-akan telur atau buah pir.[6] Ukurannya 7-33 sm panjang dan 15 sm diameter. Kulitnya berwarna hijau kekuningan, hijau gelap, merah ungu atau ungu gelap, dan agak kehitaman apabila cukup masak. Kadangkala ada juga yang mempunyai titik-titik kuning dan mempunyai ketebalan kulit kira-kira 6 mm. Sifat buah yang terdiri daripada isi tebal yang menutupi biji benih besar boleh disimpulkan seumpama beri malah dikelaskan demikian.[8][20][21]

Penanaman

sunting
Avokado tak berbiji (putik) tumbuh bersebelahan sepasang avokado Ettinger matang.

Penanamannya menggunakan benih atau keratan yang dipilih daripada pokok induk yang sesuai. Jarak penanaman disyorkan adalah 6 m x 6 m atau lebih bergantung kepada keadaan tanah dan kultivar. Lubang penanaman diisikan dengan baja organik dan MOP sebelum ditanam dengan anak benih. Jalankan penyiraman peringkat awal dan sebaiknya bubuh sungkupan. Tanaman selingan seperti pisang, jagung atau lain-lain tanaman kontan boleh ditanam di antara barisan. Kawal rumpai dan jalankan proses cantasan pembentukkan. Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan mengikut kadar disyorkan. Baja buah NPK 12:12:17:2 dan baja organik pula diberikan mengikut kadar yang ditetapkan.

Pokok avokado dewasa mampu menghasilkan sebanyak 1,200 biji buah sepokok dalam setahun. Purata hasil avocado yang ditanam secara komersil sebanyak 7-20 metrik tan sehektar dalam setahun. Kawasan dusun avokado yang dijaga dengan baik di negara strategik mampu menghasilkan sehingga 20 tan metrik sehektar untuk setahun. Pokok avokado memang mempunyai masalah penghasilan buah dwimusim iaitu pengeluaran puncak dan pengeluaran kurang berlaku berselang tahun. Isu ini menyebabkan harga buah avokado di pasaran kadang-kadang terlalu tinggi dan terlalu murah akibat fenomena ini.

Jenis diketahui

sunting

Terdapat 4 spesies utama tanaman avokado iaitu:

  • Guatemala (Persea nubigena var. guatemalanisi L Wims),
  • Mexica (Persea americana var drymifolia Blake),
  • Hindia Barat (Persea americana) dan
  • Kacukan antara ketiga-tiganya.

Terdapat dua lagi spesies yang berkait rapat dengan tanaman avokado iaitu Covo (Persea schiedeana Nees) dan juga Anay (Beilcshmiedia anay Konter m).

Antara kultivar yang ada termasuklah Avocado Hass, Avocado Gwen, Avocado Pinkerton dan Avocado Reed (kategori A). Bagi kultivar kategori B pula adalah Avocado Bacon, Avocado Ettinger, Avocado Fuerte, Avocado Sharwil dan Avocado Zutano. Kultivar lain yang ada termasuk Avocado Spinks dengan jenama Challange, Dickinson, Kist, Queen, Sharpless, Rey, Royal dan Tatt. Klon dan kultivar yang terdapat di Malaysia dibawa masuk dari Mexico tetapi banyak kultivar disesuaikan dengan persekitaran di Indonesia dan Filipina.

Klon tanaman avokado

sunting

Di Malaysia, terdapat tujuh varieti yang telah didaftarkan untuk tanaman avokado. Walaupun tanaman avokado di Malaysia tidak begitu popular tetapi sejak zaman kolonial, terdapat usaha membangunkan tanaman ini yang dimajukan oleh stesen-stesen pertanian. Pokok avokado Persia americana ialah spesies yang ditanam di Malaysia. Jabatan Pertanian Malaysia telah mendaftarkan beberapa klon avokado semenjak tahun 1953 dan menyimpan sebahagian daripada pokok-pokok tersebut di beberapa pusat pertanian sekitar Malaysia. Di pusat pertanian Tangkak, Ledang dan Johor contohnya, terdapat beberapa pokok yang masih dijaga dan mengeluarkan hasil sehingga kini. Usaha untuk menyimpan pokok tersebut sebagai sumber janaplasma perlu dijalankan.

Senarai klon avokado di Malaysia[22]

1.Avokado Klon A7
Avokado jenis ini di panggil sebagai "Haji Abu" yang didaftarkan pada 5.10.1953 dari Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Negeri Sembilan. Klon ini didaftarkan oleh pegawai pertanian pusat tersebut. Buah jenis ini berbentuk buah pear dengan saiz yang sederhana dan mempunyai kulit berwarna hijau. Buah ini senang dikupas apabila telah matang. Isinya berwarna kuning, lembut dan bijinya senang tertanggal dari isi.

2.Avokado Klon A10
Jenis avokado klon A10 yang didaftarkan pada 1956 didapati di Lot 2835, Selama, Perak oleh Jabatan Pertanian. Buah klon ini bersaiz besar, berwarna merah padam dan mempunyai kulit yang nipis. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Isinya lembut dan mempunyai mutu serta rasa yang sederhana.

3.Avokado Klon A16
Bagi buah klon avokado A16 yang didaftarkan pada 18 Mei 1957 ini, pokoknya ditanam di Pusat Pertanian Selama, Perak yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian. Buah mempunyai kulit yang hijau kekuningan dengan bentuk agak panjang dan membengkok. Buah ini juga meruncing di bahagian tangkai. Isinya pucat dan rasa buah adalah sederhana sedap.

4. Avokado Klon A25
Klon avokado A25 tiada nama tempatan dan didaftarkan pada tahun 1958 oleh pegawai pertanian. Pokok induk masih ada di Pusat Pertanian Tangkak, Ledang, Johor. Buahnya bila matang berwarna merah hati dengan saiz buah sederhana. Isinya tebal dan berbiji kecil dengan ira isinya yang halus dan rasa yang sangat sedap.

5. Avokado Klon A27
Klon ini didaftarkan pada 16 Jun 1958 oleh pegawai di Jabatan Pertanian Serdang. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Klon ini menghasilkan buah yang kecil yang kulitnya berwarna jingga gelap. Isinya agak nipis di bahagian tepi tetapi tebal di bahagian atas dan bawah biji. Mutu dan rasa klon A27 pula dikategorikan sederhana.

6. Avokado Klon A30
Avokado ini telah didaftarkan pada 1 Jun 1958 oleh pegawai Jabatan Pertanian yang bertugas di Pusat Komoditi Jabatan Pertanian Serdang, Selangor. Klon ini mempunyai buah yang besar dengan kulit berwarna jingga. Isinya adalah tebal, halus serta berwarna cream. Mutu buah adalah sangat baik.

Pengeluaran

sunting

Tanaman avokado popular di beberapa negara dengan pengeluaran dunia sebanyak 3.2 juta metrik tan pada tahun 2010. Negara-negara membangun menyumbang sebanyak lebih 82% pengeluaran tersebut di kawasan Amerika Latin dan Karibia. Mexico merupakan pengeluar utama avokado dunia dengan lebih 1.1 juta tan metrik setahun diikuti dengan Indonesia (263,000 tan metrik/tahun), dan Amerika Syarikat (214 tan metrik/tahun). Beberapa negara pengeluar utama lain adalah seperti Colombia, Brazil, Chile, Peru, China dan Ethiopia. Kawasan Asia Pasifik dan Asia Tenggara terus menyumbang sebanyak lebih 11% pengeluaran avokado dunia melibatkan Indonesia, Filipina, Vietnam dan Australia.

Ciri-ciri ideal avokado

sunting

Buah avokado yang dikehendaki oleh pengguna mestilah buah yang bersaiz kecil dan saiz sederhana untuk pengeluaran secara komersial di kawasan kota raya. Buah yang terlalu besar atau terlalu kecil digunakan untuk tempatan bagi keluarga yang besar. Kulit buah avokado sebaiknya licin, nipis atau sederhana nipis serta berwarna kehijauan agar diminati pengguna. Isinya tidak ada serat, mengandungi kandungan minyak yang rendah serta rasa yang sedap. Biji sebaiknya bersaiz kecil dan tidak mengganggu isi buah semasa proses penghantaran, penggredan dan pengendalian pula lepas tuai, tidak ada ruang antara biji dengan isi, dan buah mesti tahan suhu dingin dan tanah lasak.

Pokok sebolehnya tidak terlalu tinggi dan sesuai ditanam dan tidak terlalu padat atau merimbun. Penghasilan buah sebaiknya cepat kurang diserang penyakit seperti mati pucuk dan tahan cuaca sejuk terutama di kawasan subtropika. Cuaca terlalu sejuk serta berangin akan menjejaskan proses pendebungaan pokok avokado. Buah muda juga akan gugur jika cuaca terlalu sejuk iaitu -1 celcius. Hanya beberapa negara sahaja di dunia mempunyai iklim dan cuaca yang dikehendaki untuk tanaman avokado bermutu iaitu di selatan Sepanyol, Crete dan Levant, Peru, dan Afrika Selatan. Kawasan lain yang sesuai adalah seperti di selatan India, Sri Lanka, Australia, New Zealand, Filipina, Malaysia, Indonesia, Amerika Tengah, Karibia, Arizona, Mexico, New Mexico, Texas, Florida dan Ecuador. Setiap kawasan mempunyai kultivar tersendiri.

Kegunaan

sunting

Pengunaan buah avokado agak berbeza mengikut pendekatan dari satu rantau atau negara ke satu rantau lainnya. Negara-negara seperti Filipina, Indonesia dan Vietnam menggemari buah ini dalam pencuci mulut: "jus alpukat" dihasilkan dengan mencampurkan buah ini bersama susu dan gula serta juga dihidangkan dengan sos coklat.[5] Orang Brazil memakan buah ini secara dilenyek dan diperisakan bersama limau nipis dan gula. Negara-negara Hispanik menggunakan buah ini dalam masakan berlauk - ia dijadikan bahan wajib membuat guacamole serta diisikan dalam tortilla;[7] dijadikan sos makan pada ayam, burger dan sosej ataupun dimasak menjadi lauk dimakan dengan nasi.

Daun-daun avokado Mexico (Persea americana var. drymifolia) boleh dijadikan rempah yang memberi rasa seakan-akan adas manis.[23] Dalam masakan Amerika Latin tertentu sama ada dalam bentuk kering atau segar, daun-daun ini dipanggang terlebih dahulu sebelum dibubuh untuk memperisakan lauk.[24]

Khasiat

sunting

Avokado ialah sejenis buah yang berkhasiat yang mengandungi protein, zat besi, fosforus, kalsium, sodium, potasium, vitamin A dan C, dan niasin.

Sebiji avokado dipercayai mengandungi kira-kira 300 kalori, dengan 88% daripadanya terdiri daripada lemak. Ia bertindak dengan berkesan sebagai pelincir semula jadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul dan lutut sekali gus dapat menghindarkan penyakit sengal-sengal tulang. Di samping itu, amalan memakan buah ini setiap hari boleh menurunkan paras kolestrol di samping mengekalkan paras lipoprotein iaitu sejenis kolestrol yang baik yang bertindak melindungi seseorang itu daripada diserang sakit jantung.

Isi avokado yang kaya dengan vitamin A, minyak dan riboflavin amat berkesan untuk memulihkan kesegaran dan kelicinan kulit serta mengatasi masalah kulit kering.

Bacaan lanjut

sunting
  • Bruce Shaffer; B. Nigel Wolstenhome; Anthony W. Whiley, penyunting (2012). The Avocado: Botany, Production and Uses. CABI. ISBN 9781845937010.

Rujukan

sunting