Presa Canaria

baka anjing dari Sepanyol

Presa Canaria atau anjing tangkap Canaria[a] ialah satu baka anjing besar Sepanyol daripada jenis mastif atau anjing tangkap. Ia berasal dari kawasan berautonomi Kepulauan Canaria dan kebanyakannya terdapat di pulau Gran Canaria dan pulau Tenerife.[3]:587 Ia dahulunya dikenali sebagai dogo Canaria.[b] Ia secara tradisional digunakan sebagai anjing pengawal, sebagai anjing gembala untuk kedua-dua biri-biri dan lembu, dan untuk laga anjing yang di sisi undang-undang sehingga tahun 1936 dan mungkin telah berterusan secara gelap sejak itu.[3]:587

Presa Canaria
anjing berahang berat dengan lapis bulu perang kekuning-kuningan brindle
Nama lain
  • Anjing tangkap Canaria
  • Dogo Canaria
  • Mastif Canaria
Negara asalSepanyol
Trait
BeratJantan50–65 kg (110–145 lb)[1][2]
Betina40–55 kg (90–120 lb)[1][2]
TinggiJantan60–66 cm (24–26 in)[1][2]
Betina56–62 cm (22–24 in)[1][2]
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah

sunting

Presa Canaria diturunkan daripada bardino majorero, yang dahulunya bertaburan di seluruh Kepulauan Canaria. Anjing jenis ini dibiakbakakan secara bersilang dengan pelbagai anjing jenis molossoid yang diperkenalkan ke kepulauan itu pada masa berbeza semasa zaman kolonial. Presa Canaria khususnya dipengaruhi oleh anjing yang dibawa dari Kepulauan British dengan kemasukan besar penduduk British pada lewat abad kesembilan belas.[3]:587

Menjelang tahun 1960-an, ia menghampiri kepupusan. Sebuah persatuan baka, Club Español del Presa Canario ("Kelab Presa Canaria Sepanyol"), dibentuk pada tahun 1982 dan merangka piawaian baka sementara yang diterbitkan oleh pemerintah kepulauan itu. Piawaian ini diluluskan oleh Real Sociedad Canina de España pada tahun 1989.[3]:588 Pada tahun 1991, anjing ini disertakan dalam senarai rasmi lambang kebangsaan Kepulauan Canaria sebagai lambang pulau Gran Canaria.[4]:2610 Ia diiktiraf secara rasmi oleh pemerintah kebangsaan Sepanyol pada tahun 2001.[5]

Baka ini diterima secara sementara oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 2001 di bawah nama Dogo Canario ("dogo Canaria");[6] ia diterima sepenuhnya pada tahun 2011.[7] Pada Disember 2018, atas permintaan Real Sociedad Canina de España, namanya dibuah kepada Presa Canario ("presa Canaria").[8]

Pengimportan dan penjualan baka ini dilarang di Australia[9] dan di New Zealand.[10]

Presa Canaria brindle dengan telinga terpotong

Presa Canaria ialah anjing besar dengan tubuh amat berotot.[11] Jantan berdiri setinggi 60–66 cm (24–26 in) pada paras kelasa dan berukuran kira-kira seberat 50–65 kg (110–143 lb); betina pula berdiri kira-kira setinggi 56–62 cm (22–24 in) dan berukuran hampir-hampir 10 kg (22 lb) lebih ringan.[1][2]

Kepalanya lebar, besar, berbentuk segi empat sama, dan mempunyai bentuk brakisefalik kuat. Jika terpotong, telinganya berdiri dengan tegak. Di negara-negara yang mengharamkan pemotongan telinga, telinganya sepadan dengan kepala; tergantung ke bawah dan patut berbentuk loket atau "mawar". Bibir atasnya berayun-ayun, walaupun tidak secara berlebihan. Terlihat dari hadapan, bibir atas dan biri bawah bersatu untuk membentuk V terbalik. Bibir atasnya sedikit mencapah. Bahagian dalam bibir berwarna gelap.[1][2]

Baka ini juga bercirikan garis atas landai (dengan punggung yang lebih tinggi sedikit daripada bahu). Satu lagi ciri baka ialah rupa bentuk kaki (kaki kucing) dan pergerakan mirip kucing. Tubuhnya mesomorfik, iaitu, lebih panjang sedikit daripada ketinggian, yang menyumbang kepada pergerakan kucing.

Kegunaan

sunting

Presa Canaria secara tradisional digunakan sebagai anjing pengawal, sebagai anjing gembala untuk kedua-dua biri-biri dan lembu, dan untuk laga anjing, yang di sisi undang-undang di Sepanyol sehingga tahun 1936 dan mungkin berterusan secara rahsia selepas itu.[3]:587[12][13][14] Sehingga tahun 1950-an, laga anjing kekal sebagai amalan umum di semua pulau di sana.[15][16]

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: ڤريسا کاناريا; انجيڠ تڠکڤ کاناريا; Sepanyol: perro de presa canario; presa canario
  2. ^ Jawi: دوݢو کاناريا; Sepanyol: dogo canario

Rujukan

sunting

Pautan luar

sunting