Windows 2000

sistem pengendalian yang dibangunkan oleh Microsoft

Microsoft Windows 2000 (juga dikenali dengan nama Win2k) ialah sistem pengendalian komputer yang dibangunkan oleh syarikat Microsoft. Sistem pengendalian ini merupakan salah satu daripada keluaran utama berasaskan kepada sistem pengendalian Windows NT yang direka bagi penggunaan berkaitan korporat. Windows 2000 memasuki release to manufacturing (RTM) pada 15 Disember 1999[3], diedarkan secara rasmi kepada peruncitan pada 17 Februari 2000 dan edisi pelayan Windows 2000 Datacenter Server dikeluarkan pada 26 September 2000.

Microsoft Windows 2000
ويندوس ٢٠٠٠
Versi sistem pengendalian Windows NT
Paparan skrin Windows 2000 Professional dengan SP4.
PembangunMicrosoft
Keluarga OSMicrosoft Windows
KeadaanTiada sokongan
Model sumber
Keluaran ke
pembuatan
17 Februari 2000
Keluaran terbaruService Pack 4 dengan Update Rollup (5.0.2195) / 13 September 2005
Sasaran pemasaranKorporat dan pelayan
Jenis IntiHibrid (Kernel Windows NT)
LesenPerisian berhak cipta untuk tujuan komersil
Laman rasmimicrosoft.com/windows2000/ di laman Wayback Machine (diarkibkan pada 3 Disember 2000)
Status sokongan
Sokongan induk tamat pada 30 Jun 2005
Sokongan lanjutan tamat pada 13 Julai 2010[2]

Beberapa ciri diperkenalkan dalam Windows 2000 seperti NTFS 3.0[4], Sistem Penyulitan Fail,[5], serta dua jenis tetapan untuk storan cakera iaitu basic dan dynamic[6]. Sokongan untuk pengguna dengan kelainan upaya juga dinaik taraf berbanding Windows NT 4.0 dengan pengenalan kepada beberapa ciri teknologi bantuan[7] dan Microsoft juga memperluaskan sokongan kepada berbilang bahasa[8] dan maklumat berkaitan tetapan tempatan[9]. Keluaran Windows 2000 Server pula mengandungi beberapa ciri tambahan, paling utama ialah pengenalan kepada Active Directory[10], di mana pada tahun-tahun berikutnya dijadikan sebagai perkhidmatan direktori paling meluas digunakan dalam persekitaran korporat.

Terdapat empat edisi bagi Windows 2000 yang dikeluarkan: Professional, Server, Advanced Server dan Datacenter Server;[11] dua edisi terakhir telah memasuki fasa bakal dikeluarkan dan dilancarkan sebulan selepas keluaran rasmi bagi edisi yang lain[12]. Walaupun tiap-tiap edisi Windows 2000 ditujukan kepada jenis pasaran yang berbeza, edisi-edisi ini memiliki ciri asas yang sama, termasuklah penggunaan kebanyakkan utiliti sistem seperti Microsoft Management Console dan aplikasi pentadbiran sistem yang piawai.

Pada mulanya, Microsoft memasarkan Windows 2000 sebagai sistem pengendalian Windows yang memiliki ciri keselamatan yang paling ketat pada ketika itu[13]. Namun begitu, Windows 2000 telah dijadikan sebagai sasaran beberapa serangan virus berprofail tinggi seperti Code Red[14] dan Nimda[15]. Selepas sepuluh tahun pelancarannya, sistem pengendalian ini masih lagi menerima kemaskini tampalan berkaitan dengan kerentanan keselamatan hampir setiap bulan sehinggalah tamatnya sokongan rasmi pada 13 Julai 2010, hari yang sama di mana tamatnya sokongan untuk Windows XP SP2[2].

Windows 2000 dan Windows 2000 Server telah digantikan dengan Windows XP yang dikeluarkan pada tahun 2001 dan Windows Server 2003 yang dikeluarkan pada tahun 2003.

Windows 2000 juga merupakan versi terakhir Windows NT yang menyokong seni bina PC-98, i486 dan SGI Visual Workstation 320 dan 540, serta Alpha[16]. Pengganti selepasnya, Windows XP hanya menyokong seni bina x86, x64 dan pemproses Itanium.


Sejarah

sunting

Pembangunan

sunting

Windows 2000, nama asalnya ialah NT 5.0, merupakan kesinambungan daripada keluarga sistem pengendalian Microsoft Windows NT, menggantikan Windows NT 4.0. Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bill Gates pada asalnya "sangat yakin" bahawa NT 5.0 mula dipasarkan pada separuh pertama tahun 1998[17], mendedahkan bahawa set pertama fasa beta telah dipasarkan seawal tahun 1997; versi itu memilii aspek-aspek yang lebih kurang sama dengan Windows NT 4.0. Versi beta rasmi pertama telah dikeluarkan pada bulan September 1997, diikuti dengan Beta 2 pada bulan Ogos 1998[18].

Pada 27 Oktober 1998, Microsoft mengumumkan bahawa nama Windows 2000 akan digunakan dalam versi di peringkat akhir, yang merujuk kepada tahun keluaran yang telah diunjurkan[19]. Windows 2000 Beta 3 telah dikeluarkan pada bulan Mei 1999[18]. NT 5.0 Beta 1 memiliki aspek yang lebih kurang sama dengan NT 4.0, termasuklah penggunaan logo tema yang serupa. NT 5.0 Beta 2 memperkenalkan skrin but mini terbaru dan mengeluarkan tema dark space dalam logo.

Cakera padat Microsoft Windows 2000 Server Release Candidate 2

NT 5.0 versi Beta mengandungi bunyi permulaan dan penutupan yang panjang, walaupun jangka masa bunyi-bunyi ini telah diubah menerusi versi Beta awal Windows 2000, namun dalam versi Beta 3, bunyi permulaan dan penutupan yang menggunakan piano telah direka dan digubal oleh Steven Ray Allen[20]. Ianya juga telah dimasukkan dalam versi akhir serta menerusi sistem pengendalian Windows Me. Paparan log masuk yang baharu yang terdapat dalam versi akhir pada mulanya digunakan dalam versi Beta 3 dengan nombor binaan 1946 (cabang pertama Beta 3).

Ikon baharu yang dikemaskini (untuk My Computer, Recycle Bin dan lain-lain) mula digunakan dalam versi Beta 3 dengan nombor binaan 1964. Paparan but Windows 2000 yang terdapat dalam versi akhir mula diperkenalkan menerusi Beta 3 dengan nombor binaan 1983. Projek Windows 2000 tidak memiliki sebarang kod nama kerana menurut Dave Thompson , ahli pasukan Windows NT, "Jim Allchin tidak berminat dengan kod nama"[21].

Semasa dalam pembangunan, terdapat pakej yang dibangunkan untuk sokongan seni bina Alpha, namun ianya tidak diteruskan pada fasa akhir pembangunan sistem pengendalian ini (sewaktu fasa RC1 dan RC2[22]) selepas Compaq mengumumkan bahawa mereka tidak lagi memberikan sokongan Windows NT dalam Alpha[23]. Dari sini, Microsoft menerbitkan tiga versi release candidate (RC) dalam tempoh di antara bulan Julai hingga November 1999, dan akhirnya menerbitkan sistem pengendalian ini kepada rakan kongsi pada 12 Disember 1999, diikuti dengan versi RTM pada 15 Disember 1999[24]. Versi penuh Windows 2000 pula dijangka akan dilancarkan kepada umum pada 17 Februari 2000.

Pelancaran

sunting

Tiga hari sebelum tarikh pelancaran rasmi itu, memo dalaman Microsoft dilaporkan telah dibocorkan dan dilaporkan oleh penulis Mary Jo Foley mengatakan bahawa Windows 2000 mengandungi "lebih 63,000 potensi kecacatan yang diketahui"[25]. Selepas artikel Mary itu diterbitkan, dia mendakwa pihak Microsoft telah menyenaraihitamkannya untuk tempoh masa yang agak lama[26]. Namun begitu, Abraham Silberschatz et al. menerusi buku teks sains komputer mereka menyatakan bahawa, "Windows 2000 merupakan sistem pengendalian Microsoft yang paling stabil dan telah terbukti yang pernah dikeluarkan. Pendirian ini adalah berdasarkan kepada kematangan dalam kod sumber, ujian tegasan yang berterusan telah dilakukan dan pengesanan automatik terhadap kepincangan serius dalam pemacu-pemacu."[27]

Laman berita InformationWeek menyimpulkan bahawa "keputusan ujian kami mendapati pengganti kepada NT 4.0 ini adalah apa yang kami harapkan. Sudah tentu ia tidaklah begitu sempurna."[28] Laman berita Wired pula mendakwa bahawa sambutan yang diterima terhadap pengeluaran rasmmi Windows 2000 kepada pengguna tidak begitu baik dan hambar[29]. Syarikat Novell juga mengkritik seni bina Active Directory, perkhidmatan direktori terbaru, sebagai kurang berskala atau tidak boleh diharap berbanding dengan pilihan alternatif, Novell Directory Services (NDS) yang dimiliki mereka sendiri[30].

Tablet komputer Fujitsu yang menjalankan sistem pengendalian Windows 2000.

Pada 17 Februari 2000, sistem pengendalian Windows 2000 dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif pada ketika itu, Bill Gates bertempat di San Francisco, Amerika Syarikat[31]. Beliau juga merupakan Ketua Arkitek Perisian pada ketika itu memaklumkan bahawa seramai 750,000 penguji beta telah mengambil bahagian dalam pembangunan dan kerja-kerja di belakang tabir. Dalam acara ini juga, beliau melakukan demonstrasi masa nyata bagaimana prestasi sistem pengendalian Windows 2000 dipertunjukkan menerusi pemasangan dalam beberapa perkakasan berbeza untuk senario berbeza:

  • Penggunaan komputer meja dengan sistem pengendalian Windows 2000 Professional, demonstrasi terhadap penyelarasan maklumat rantauan laptop dan pengguna[32].
  • 400 komputer stesen kerja Dell melakukan jutaan hit ke atas laman web e-dagang yang dihoskan menggunakan 32 pelayan berkelompok yang menjalankan sistem pengendalian Windows 2000 Servers[32].
  • Pelayan Unisys menjalankan sistem pengendalian Windows 2000 Datacenter Server versi beta[32].
  • Beberapa peranti elektronik seperti komputer meja, laptop, PDA dan peranti kepenggunaan lain yang menjalankan sistem pengendalian Windows 2000[32].

Majlis pelancaran ini juga disertai oleh pelakon Sir Patrick Stewart yang terkenal menerusi drama bersiri Star Trek pada ketika itu[31] serta artis rock Carlos Santana bersama kumpulannya[33].

Harga pengenalan yang ditetapkan Microsoft bagi edisi Windows 2000 Professional adalah sebanyak $319, harga yang sama ditetapkan untuk sistem pengendalian Windows NT 4.0 Workstation[34]. Bagi pengguna yang ingin melakukan naik taraf daripada sistem pengendalian Windows NT 4.0 perlu membayar $149. Disebabkan Windows 2000 direka bagi tujuan korporat, pengguna biasa yang ingin melakukan naik taraf daripada sistem pengendalian Windows 95 atau Windows 98 perlu membayar sebanyak $219 kerana kedua-dua sistem pengendalian ini direka bagi tujuan umum. Sebelumnya, Microsoft menetapkan bahawa pengguna perlu membayar harga penuh jika ingin melakukan naik taraf daripada kedua-dua sistem pengendalian itu[34].


Pasang atur

sunting

Keperluan sistem

sunting
MinimaDisarankan
MikropemprosesPentium 133 MHzPentium II 300 MHz
RAM32 MB (128 MB untuk Windows 2000 Server)128 MB (256 MB untuk Windows 2000 Server)
Storan kosong1 GB (2 GB untuk Windows 2000 Server)5 GB
Komponen grafikPaparan dengan saiz 800×600 VGA atau lebih baikPaparan dengan saiz 1024×768 VGA atau lebih baik
Peranti inputPapan kekunci dan/atau tetikus

Kaedah

sunting

Windows 2000 boleh dipasang atur kepada tapak melalui pelbagai kaedah. Ianya boleh dipasang ke dalam pelayan melalui media lazim (seperti CD)[35] atau melalui folder yang diagihkan menerusi capaian folder bersama. Pemasangan juga boleh dilakukan secara berkendali atau tidak berkendali. Semasa pemasangan secara manual, pentadbir perlu menetapkan pilihan konfigurasi[36].

Pemasangan secara tidak berkendali pula menggunakan skrip menerusi fail answer atau skrip pratertakrif dalam bentuk fail INI yang mengandungi maklumat mengenai tetapan yang telah diisi. Fail answer (.INI) boleh dicipta secara manual atau menggunakan pengurus persediaan bergrafik. Program Winnt.exe atau Winnt32.exe pula menggunakan fail INI bagi menjalankan pemasangan secara automatik. Pemasangan secara tidak berkendali boleh dilakukan sama ada melalui CD boleh but, menggunakan Microsoft Systems Management Server (SMS)[37], melalui System Preparation Tool (Sysprep)[38], program Winnt32.exe yang menggunakan arahan /syspart atau Perkhidmatan Pemasangan Jauh (RIS)[39]. Keupayaan untuk menyisipkan pemasangan service pack ke dalam fail persediaan sistem pengendalian yang asal juga diperkenalkan dalam Windows 2000[40].

Kaedah sysprep dimulakan dari komputer induk standard - walaupun spesifikasi perkakasan tidak perlu sama - dan ia akan menyalin fail pemasangan yang diperlukan dari komputer induk kepada komputer penerima yang ingin dilakukan pemasangan Windows 2000[41]. Cakera keras pula tidak diperlukan untuk berada di dalam komputer penerima dan boleh ditukarkan pada bila-bila masa, dengan perkakasan tetap di kemudian hari. Program Winnt.exe juga perlu menggunakan arahan /unattend yang ditujukan kepada fail answer yang betul[41] dan arahan /s yang ditetapkan kepada satu atau lebih direktori sumber pemasangan sistem pengendalian[38].

Sysprep membolehkan imej cakera pemasangan Windows 2000 Server diduplikasi ke dalam beberapa pelayan. Ini bermakna kesemua aplikasi dan tetapan konfigurasi sistem akan disalin kepada pemasangan di peranti lain, oleh itu komputer penerima perlu memiliki hardware abstraction layer (HAL), sokongan ACPI dan peranti storan massa yang sepadan - walaupun Windows 2000 berupaya untuk mengesan komponen peranti "pasang dan pakai" secara automatik. Kaedah sysprep lebih disarankan kerana Windows 2000 mampu dipasang atur dalam sesebuah lokaliti yang mengandungi banyak komputer yang memiliki spesifikasi yang sepadan dengan lebih cepat.

Systems Management Server boleh digunakan untuk menaik taraf pelbagai komputer kepada sistem pengendalian Windows 2000. Peranti-peranti ini mestilah menjalankan sistem pengendalian semasa Windows NT 3.51, Windows NT 4.0, Windows 98 atau Windows 95 OSR2.x selain memasang program ejen klien SMS yang akan menerima fail operasi pemasangan perisian. Penggunaan SMS membolehkan pemasangan dijalankan dalam lokaliti yang lebih meluas dan memberikan kawalan berpusat ke atas naik taraf sistem pada pelbagai peranti atau komputer.


Microsoft telah mengeluarkan beberapa edisi untuk sistem pengendalian Windows 2000 yang dipasarkan untuk pelbagai pasaran yang berbeza dan keperluan korporat: Professional, Server, Advanced Server dan Datacenter Server. Setiap edisi dijual secara berasingan.

Windows 2000 Professional direka sebagai sistem pengendalian meja untuk penggunaan korporat dan pengguna mahir. Edisi ini menawarkan lebih kawalan sekuriti dan stabil berbanding sistem pengendalian meja Windows sebelumnya. Ia menyokong sehingga dua pemproses, dan mampu mengendalikan memori ingatan capaian rawak (RAM) sehingga 4 GB. Keperluan sistem minima yang diperlukan untuk memasang edisi ini adalah pemproses Intel Pentium (atau setara) berkelajuan 133 MHz atau lebih, RAM sekurang-kurangnya 32 MB, storan kosong sebanyak 650 MB dan pemacu CD-ROM[42]. Walaupun keperluan sistem minima ini dikeluarkan secara rasmi, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Windows 2000 boleh dipasang kepada komputer yang menggunakan pemproses generasi ke-4 x86 seperti 80486.

Windows 2000 Server memiliki paparan antara muka yang sama seperti edisi Windows 2000 Professional, namun terdapat beberapa komponen tambahan untuk menjalankan fungsi-fungsi pelayan[43] dan menjalankan program berkaitan infrastruktur dan aplikasi bergred perusahaan. Komponen baharu dan paling utama yang diperkenalkan dalam versi ini adalah Active Directory, yang merupakan perkhidmatan direktori bagi korporat yang berteraskan kepada protokol LDAP (Protokol Capaian Direktori Ringan)[44]. Selain itu, Microsoft mengintegrasikan pengesahsahihan menggunakan rangkaian Kerberos, menggantikan sistem pengesahsahihan NTLM (NT LAN Manager) yang banyak dikritik dan digunakan dalam sistem pengendalian sebelum ini[45]. Rangkaian Kerberos menawarkan hubungan bersifat transitif dan kepercayaan di antara pelayan Windows 2000 Server di dalam forest (koleksi satu atau lebih domain Windows 2000 yang memilik persamaan dari segi skema yang sepadan, konfigurasi dan katalog global, yang berhubung menerusi hubungan dua hala transitif dan boleh percaya)[46]. Edisi ini juga memperkenalkan kepada Sistem Nama Domain (DNS) yang membolehkan pendaftaran dinamik untuk alamat IP. Windows 2000 Server menyokong sehingga 4 pemproses dengan keperluan minima RAM sebanyak 128 MB dan storan kosong sebanyak 1 GB, namun keperluan ini boleh menjadi tinggi bergantung kepada komponen yang dipasang[42].

Windows 2000 Advanced Server ialah varian kepada sistem pengendalian Windows 2000 Server yang dibangunkan bagi tujuan perusahaan medium dan besar. Ia menawarkan keupayaan untuk membina pelayan berkelompok[47], menyokong sehingga 8 pemproses, RAM sehingga 8 GB menerusi kaedah sistem Pemanjangan Alamat Fizikal (PAE)[48] dan berupaya melakukan multipemproses bersimetri (SMP) 8-hala. Selain itu, edisi ini juga menyokong pengimbangan muatan TCP/IP dan ianya dibina berdasarkan kepada Microsoft Cluster Server (MSCS) dalam Windows NT Enterprise Server 4.0, menambahkan fungsi untuk pelayan berkelompok dua-nod yang dipertingkatkan. Keperluan sistem adalah serupa dengan Windows 2000 Server, namun berkemungkinan keperluan ini perlu dipertingkatkan supaya ianya dapat menyokong pembesaran sistem untuk kegunaan infrastruktur yang besar.

Windows 2000 Datacenter Server ialah varian kepada sistem pengendalian Windows 2000 Server yang direka untuk perusahaan kompleks yang biasanya melakukan banyak transaksi melibatkan permindahan sejumlah data yang sulit dan sensitif menerusi pelayan berpusat[49]. Seperti Windows 2000 Advanced Server, edisi ini juga menyokong fungsi kluster, pemulihan dan pengimbangan muatan. Keperluan sistem minima adalah serupa dengan Windows 2000 Advanced Server, namun edisi ini telah dibangunkan untuk berupaya mengendalikan sistem yang boleh terima rosak, berkemahiran tinggi dan pembesaran sistem dengan klien komputer sehingga 32 mikropemproses dan RAM sehingga 32 GB, dengan pengujian dan kelayakan yang teliti, pemetakan perkakasan, penyelenggaraan yang dikoordinasi dan melakukan proses kawalan ubah. Edisi ini dibina berdasarkan kepada Windows 2000 dengan Service Pack 1[49] dan tidak dijual di mana-mana peruncitan[50].


Lihat juga

sunting


Rujukan

sunting


Bacaan lanjut

sunting


Pautan luar

sunting